Monday, 1 August 2011

Trend taqrabuz zina sebelum nikah


Analogi Harimau dan Nyamuk

        Bayangkan seekor harimau dengan ganasnya menerkam masuk ke dalam rumah kita. Aummm!!!
Gigi-giginya menyeringai. Kuku-kukunya tajam mencengkam. Lalu, apa yang terjadi? Sudah tentu ada di antara kita yang bertempiaran lari, menjerit, bertakbir, menyorok di bawah katil, mengunci diri di dalam bilik mandi dan ada juga yang pengsan terus.
       Bayangkan pula seekor nyamuk terbang masuk ke dalam rumah kita.
Nggg!!!
Apa yang terjadi? Hmm, ia terbang bebas ke hulu, ke hilir. Ramai yang buat tidak hairan sahaja. Apalah yang perlu ditakutkan pada seekor nyamuk, hati berbisik. Cuma seekor.
        Selalunya begitu, semua orang takut kepada perkara yang besar kerana ia kelihatan berbahaya namun tidak takut kepada perkara yang kecil. Sedangkan, jika ingin dibandingkan nisbah orang yang mati dibaham harimau dengan orang yang mati digigit nyamuk, mana lebih ramai?
Bandingan mudahnya, berapa kali setahun secara anggarannya akhbar memaparkan berita tentang orang yang menjadi mangsa Pak Belang? 
Berapa kali pula dilaporkan berita tentang penyakit demam denggi, demam malaria, Japanese Encephalitis, kaki untut dan sebagainya yang semuanya berpunca daripada gigitan nyamuk?     
Begitulah analogi yang boleh dikaitkan dengan fenomena zina pada hari ini. Semua orang takut dan benci berzina. Ia dianggap perkara besar dan berbahaya.
Namun ramai orang yang tidak takut pada perkara-perkara yang boleh membawa kepada zina. Ia sering dianggap kecil dan dipandang remeh. Tiada sensitiviti untuk berhati-hati dengannya. Akibatnya, yang kecil ini membawa kepada kemusnahan besar dalam hidup seseorang. 
Setiap dosa besar bermula daripada dosa kecil. Setiap jenayah anggota bermula daripada dosa hati. Tidak hairanlah Rasulullah SAW dan generasi salafussoleh amat berhati-hati menjaga hati dengan memperbanyakkan istighfar setiap hari meskipun mereka bukanlah ahli dosa.
عن الأغرَِِِبن يسار المزني رضي الله عنه قال: قال رسول الله صلي الله عليه وسلم : (( يا أيها الناس، توبوا إلي الله واستغفروه ، فإني أتوب في اليوم مائة مرة))(58) ( رواه مسلم)
“Dari al-Agharr bin Yasar al-Muzani radhiyallahu 'anhu berkata, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
”Wahai sekalian manusia, bertaubat dan minta ampunlah (istighfar) kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala, sesungguhnya aku meminta ampun kepada Allah seratus kali setiap hari.” (HR. Muslim)

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam adalah manusia yang senantiasa bertaubat beristighfar kepada Allah, hal ini sebagaimana hadits di atas dan juga hadits berikut ini:
عن أبي هريرة رضي الله عنه قال: سمعت رسول الله صلي الله عليه وسلم يقول: (( والله إني لاستغفر الله وأتوب إليه في اليوم أكثر من سبعين مرة))(57) ( رواه البخاري)
“Dari Abu Hurairah radhiyallahu 'anhu, dia berkata, aku mendengar Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:”Demi Allah, sesungguhnya aku beristighfar dan bertaubat kepada Allah dalam satu hari lebih dari 70 kali.”(HR.Bukhari)

Tidak hairanlah al-Quran menyuruh berawas pada perkara yang dianggap kecil itu. Firman Allah SWT, “Janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya ia adalah keji dan seburuk-buruk jalan.” (Surah al-Isra’: 32).

Nyamuk-nyamuk Ikhtilat

            Sms tanpa  urusan, call tanpa urusan, dating tanpa mahram, chatting tanpa urusan dan bermacam-macam lagi bentuk fitnah komunikasi tanpa urusan antara lelaki dan perempuan bukan mahram adalah antara jalan-jalan menghampiri zina. Ia ibarat nyamuk-nyamuk ikhtilat yang boleh menjunamkan seseorang kepada penyakit berbahaya.
            Teknologi tidak salah. Tapi manusialah yang suka menggunakannya dengan tujuan yang salah. Berurusan atau bermuamalat dengan lawan jenis menggunakan teknologi-teknologi ini bukannya salah. Tapi manusia suka menggunakannya untuk bergaul bebas atau berikhtilat.
Apa itu ikhtilat? Ikhtilat ialah pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram tanpa urusan. Dalam Islam, asal pergaulan antara lelaki dan perempuan bukan mahram adalah haram, al-aslu fil ikhtilat haram. 
Namun jika atas dasar urusan dan kerja, maka interaksi antara lelaki dan perempuan bukan mahram menjadi harus. Ia bukan dinamakan ikhtilat sebaliknya muamalat. Kaedah syarak tentang asal hukum muamalat adalah harus iaitu al-aslu fil muamalat mubah.
Ada banyak urusan. Urusan jual beli, kerja, persatuan, pelajaran, khidmat kaunseling, dan sebagainya. Semua ini urusan. Ianya harus. Namun, ianya bergantung juga pada niat hati masing-masing.
Ini disokong pula oleh kaedah syarak yang menyebut, al-darurah tubiihul mahzurat  bermaksud darurat membolehkan apa yang dilarang. Urusan antara lelaki dan perempuan pada hari ini tidak dapat dinafikan adalah suatu keperluan atau disebut darurat.
Namun, pembolehan ini tidak dilepaskan sebebas-bebasnya, sebaliknya, ada adab,akhlak dan batasan yang memagarinya. Kaedah syarak yang lain menyebut, al-dorurah tuqaddar biqadariha bermaksud darurat diukur dengan kadarnya.
Masalahnya, ramai orang yang menjadikan urusan satu alasan untuk menghalalkan ikhtilat yang terlarang.Call, sms, dating, chatting berbaur peribadi yang diselit dicelah-celah urusan kian membarah sebagai budaya. Sekadar ingin bertanya, 
Dah makan ke? 
Tengah  buat apa tu?
Esok nak pakai baju warna apa? 
Dah tidur ke?  
Adakah  ini dikatakan urusan? Manusia tidak berhak menghukum hati sesiapa, bertanyalah sendiri kepada Pencipta hati masing-masing. Mungkin benar adanya urusan di sebalik pertanyaan-pertanyaan seperti ini bergantung kepada niat. Wallahua'lam. Kita hanya melihat luaran, Allah lebih  tahu maksud dalaman.
Apakah sebenarnya yang dimaksudkan urusan?
Urusan adalah sesuatu yang apabila kita bentangkan depan Allah SWT, kita yakin kita mampu jawab dan berhujah depan Allah bahawa ia adalah urusan, maka itulah yang dinamakan urusan. Jika hati masih berasa was-was samada ia suatu urusan atau tidak, maka berawaslah. 
Sabda Rasulullah SAW,
عن النواس بن سمعان عن النبي قال: (( البر حسن الخلق. والإثم ما حاك في نفسك
وآرهت أن یطلع عليه الناس )). رواه مسلم. وعن وابصة بن معبد قال: (( أتيت رسول
الله e فقال: ( جئت تسأل عن البر؟ قلت: نعم. قال: استفت قلبك البر ما اطمأنت إليه النفس
واطمأن إليه القلب، والإثم ما حاك في النفس وتردد في الصدر وإن أفتاك الناس وأفتوك ))
حدیث حسن رویناه مي مسندي الإمامين؛ أحمد بن حنبل والدارمي بإسناد حسن.
Daripada al-Nawwas ibn Sam'aan r.a. daripada Nabi SAW baginda bersabda: Kebajikan itu ialah keelokan budi pekerti dan dosa itu ialah apa yang tergetar dalam dirimu dan engkau benci orang lain mengetahuinya. (Hadis riwayat al-lmam Muslim)
Dan daripada Waabisoh ibn Ma'bad r.a. beliau berkata: Aku telah menemui Rasulullah SAW lalu. Baginda bersabda: Engkau datang mahu bertanya tentang kebajikan? Aku berkata: Ya. Baginda bersabda: Mintalah fatwa dari hatimu. Kebajikan itu ialah suatu perkara yang diri dan hati merasa tenang tenteram terhadapnya, dan dosa itu itu ialah suatu perkara yang tergetar dalam dirimu dan teragak-agak di hati, sekalipun ada orang yang memberikan fatwa kepadamu dan mereka memberikan fatwa kepadamu. (Hadis Hasan riwayat al-lmam Ahmad dan al-Daarimie dengan isnad yang baik).
Cinta Fitnah
            Cinta yang asalnya suci dan bersih di hati setiap insan boleh tercemar apabila disalurkan dengan jalan-jalan yang mendekati zina. Berkata Prof. Syeikh Yusuf al-Qaradhawi apabila ditanya tentang bercinta sebelum bernikah, “Saya ingin tegaskan kembali apa yang selalu saya katakan, saya tidak memuji apa yang dilaungkan segolongan orang tentang pentingnya bercinta sebelum bernikah, kerana cara seperti ini dikhuatirkan berbahaya dan syubhat.” (Rujuk buku Wanita dalam Fikih al-Qaradhawi).
            Katanya lagi, “Banyak orang yang memulakan cara bercinta dengan cara yang tidak benar, seperti berpacaran melalui percakapan telefon dengan bicara yang sia-sia. Ia seringkali dilakukan oleh anak-anak muda ketika menikmati waktu kosong atau bosan. Berpacaran melalui telefon ini kadang-kadang disambut oleh remaja puteri, dan ini biasanya yang sering terjadi dalam keluarga, tanpa disedari dan difikirkan akibatnya, baik oleh remaja putera mahupun remaja puteri. Awalnya memang cuba-cuba tapi kemudiaannya ketagihan. Awalnya bercanda tetapi akhirnya serius.”
            Menghampiri zina semakin menjadi trend muda-mudi malah orang dewasa sekalipun. Rasulullah SAW mengingatkan:
حبك للشئ يعمى ويصم (رواه أحمد)

“Kecintaan kamu kepada sesuatu boleh membuatkan kamu buta dan tuli.” (Riwayat Ahmad).
          Soal cinta amat akrab dengan soal hati.  Oleh sebab  itulah hati perlu  berada dalam keadaan sentiasa berhati-hati dengan memperbanyakkan istighfar. Bimbang rasa suka, cinta  dan sayang yang suci itu terheret  menjadi rasa ingin sms selalu, call selalu, jumpa selalu. Seterusnya, hati yang menjadi raja kepada jasad boleh mengarah anggota  badan  seperti lidah,  tangan,  kaki, mulut dan telinga, bertindak sesuatu secara salah. Ketika inilah fitrah menjadi fitnah.    

Amat jarang kedengaran pergaulan antara lelaki dan perempuan bermula dengan perbuatan yang ‘berat-berat’ terus. Ia biasanya dimulai dengan yang ‘ringan-ringan’ dahulu atau yang disebut sebagai menghampiri zina.
            Ingat pesan Nabi,

فالعين تزنى وزناها النظر
واللسان يزنى وزناه النطق
والرجل تزنى وزناها الخطى
واليد تزنى وزناها البطش
والقلب يهوى ويتمنى
والفرج يصدق ذلك أو يكذبه
 (رواه مسلم والبخارى وأبو داود)
Mata itu berzina dan zinanya adalah memandang (tanpa keperluan),
Lisan itu berzina dan zinanya adalah bercakap (yang sia-sia, lucah dan sebagainya),
Kaki itu berzina dan zinanya adalah melangkah (untuk bermaksiat),
Tangan itu berzina dan zinanya ialah merangkul (untuk bermaksiat),
Hati itu berhawa dan berangan-angan,
Faraj membenarkan atau mendustakannya.

Dalam mengambil  sikap berhati-hati menjaga hati, kita bukan  sahaja takut hati asyik membayangkan persetubuhan luar nikah. Malah, jagalah hati daripada asyik membayangkan perkara-perkara yang menghampiri zina daripada sekecil-kecil perkara seperti berhubungan, berjumpa, berpelukan, bergeselan dan sebagainya. Jika terus dilayan, hati akan  terheret jauh dan makin jauh. Anggota badan mula tidak keruan untuk bertindak tatkala menerima tekanan rajanya.

Remaja Yang Dikagumi Allah

            Cinta fitnah yang tersalur dengan jalan-jalan menghampiri zina ini tidak ke mana. Orang yang memilih cara ini hanya memilih untuk disakiti dan dikecewakan samada di dunia atau di akhirat atau kedua-duanya sekali.
            Allah SWT mengingatkan kita,
الأخلاء يومئذ بعضهم لبعض عدو إلا المتقين (الزخرف: 67)
“Teman-teman kesayangan pada hari itu menjadi musuh bagi sebahagian yang lain kecuali orang-orang yang bertaqwa.”
            Sama-samalah menjadi remaja yang memelihara kesucian diri.  Remaja yang membina kualiti fardu Muslim insya-Allah akan dianugerahi Allah dengan Baitul Muslim. Baitul Muslim ini akan mencorakkan satu generasi masa depan yang hebat untuk membina masyarakat Muslim seterusnya negara dan khilafah.
            Sabda Rasulullah SAW,
  • عجب ربك من الشاب ليست له صبوة (رواه أحمد)
  • Allah merasa takjub kepada pemuda yang tiada baginya rindu yang cenderung kepada kebodohan. (Riwayat Ahmad)

Semoga Allah Redha

Mencungkil Hikmah Ramadhan




Terdapat banyak hikmah di bulan Ramadhan, antaranya:
1. Hikmah puasa.
2. Hikmah mujahadatunnafsi.
3. Hikmah sembahyang sunat Terawih
4. Hikmah mengeluarkan zakat fitrah dan sedekah
5. Hikmah membaca Al Quran
6. Hikmah Lailatul Qadar.

Dengan mempelajari, memahami, meyakini, mengamalkan dan memperolehi hikmah-hikmah tersebut, insya Allah kita akan memiliki sifat taqwa.

1. HIKMAH PUASA

Berpuasa ertinya menahan keinginan nafsu untuk makan, minum dan nafsu syahwat. Perbuatan ini boleh mendidik manusia menjadi sabar dan redha. Maknanya manusia itu boleh menahan kemahuan-kemahuan nafsunya dari melakukan hal-hal yang ditegah oleh Allah SWT.

Seorang yang sabar menghadapi segala masalah hidup, nescaya beroleh keuntungan dunia dan akhirat. Dan Allah menjanjikan pahala tanpa hisab untuk orang-orang yang sabar.

Firman Allah yang bermaksud:
"Sesungguhnya dibalas orang-orang yang sabar itu pahalanya tanpa hisab." (Az Zumar : 10 )

Baginda Rasulullah ﷺ bersabda, bermaksud: “Puasa itu kesabaran dan kesabaran itu sebahagian daripada iman.” (Hadis riwayat Ibn Majah).

Puasa juga mendatangkan rasa timbang rasa terhadap orang-orang yang susah. Lapar dan haus terpaksa kita tanggung kerana puasa akan memahamkan kita bahawa demikianlah deritanya orang-orang miskin dan anak-anak yatim. Apahal jika kita ditimpakan nasib yang sama? Tentu kita tidak sanggup. Kalau begitu berbuat baiklah terhadap mereka itu. Iktibarkanlah mereka.

Moga-moga Allah melepaskan kita dari kesusahan hidup di dunia dan di akhirat.

2. HIKMAH MUJAHADATUNNAFSI

Sebulan Ramadhan kita didisiplinkan oleh syariat supaya membanyakkan mujahadah melawan hawa nafsu dan syaitan. Yakni tidak menurut kehendak keduanya. Selain dari nafsu makan minum dan nafsu kelamin, di hari siangnya, kita juga diperintahkan melawan mazmumah-mazmumah yang lain seperti bakhil, ujub, sombong, marah, dengki, tamak, cinta dunia , berburuk sangka, mengadu domba, mengumpat, mementingkan diri, memutuskan silaturrahim dan lain-lain.

Seorang yang berpuasa tapi mengekalkan kejahatan-kejahatan lahir dan batin, tidak akan mendapat apa-apa faedah selain lapar dan dahaga.

Sabda Rasulullah ﷺ bermaksud:
"Berapa banyak orang yang berpuasa tapi tidak mendapat apa-apa melainkan lapar dan dahaga".  (Riwayat An Nasai)

Itu maknanya kita diarahkan untuk memberhentikan kejahatan-kejahatan nafsu itu. Yakni dengan melakukan mujahadatunnafsi. Seorang yang berjaya melawan nafsunya sekaligus dapat melawan syaitan. Sebab nafsu adalah laluan penting (highway) bagi syaitan.

Bila kedua musuh batin itu ditewaskan, jadilah nafsu itu, nafsu yang taat setia pada Tuhan, maka manusia akan kembali kepada fitrah murninya, yakni berakhlak mulia. Dan itulah kemenangan yang hakiki.

Firman Allah yang bermaksud:
"Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang membersihkan jiwanya. Dan rugilah siapa yang mengotorinya." (Asy-Syam: 9-10)

Allah memuliakan jiwa-jiwa yang suci dengan firmannya, bermaksud:
"Wahai jiwa yang tenang (nafsu mutmainnah ) kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang redha lagi diredhai-Nya. Maka masuklah ke dalam jemaah hamba-hamba-Ku. Dan masuklah ke dalam Syurga Ku."   (Al Fajr: 27-30 ) 

3. HIKMAH SEMBAHYANG TERAWIH

Kita disunatkan solat terawih tiap-tiap malam sepanjang Ramadhan. Kita solat sebanyak 20 rakaat selama 30 malam. Ertinya kita melebihkan sebanyak 600 rakaat solat sunat pada bulan Ramadhan.

Solat ertinya mengingati Allah. Bercakap-cakap dengan Allah, meminta-minta dengan Allah, mengharap pada Nya, merasa kehambaan diri, rasa terhina dan rasa hebat  pada Nya. Setiap kali berdiri rukuk dan sujud, kita berjanji dan bersumpah untuk hidup dan mati dalam mengabdikan diri hanya pada Allah.

Kita juga mohon kepada Allah di dalam solat, kita mahu jalan yang lurus dan jalan Nabi-nabi dan orang-orang soleh, bukan orang-orang kafir, Yahudi dan Nasrani. Begitu sembahyang membawa kita mendekatkan keinginan untuk menjadi rijalullah (orang yang berjuang di jalan Allah).

Kalau benarlah kita jujur dalam solat, 600 rakaat Terawih itu sepatutnya benar-benar boleh mengubah kita menjadi lebih baik daripada sebelumnya. Yakni bila orang yang cinta Allah, lebih daripada yang lain, membesarkan akhirat lebih daripada dunia, berkasih sayang sesama mukmin, tegas dan keras dengan kekafiran dan maksiat, pemurah dan berbaik sangka dengan manusia, sabar dalam ujian, syukur dengan nikmat, redha dengan takdir, membanyakkan amalan-amalan soleh,  taat suami, bertimbang rasa dengan isteri, memuliakan ibu bapa, kasihkan guru, setia pada pemimpin dan lain-lain lagi kebaikan yang dikehendaki oleh Allah dan Rasul.

Solat akan memimpin, mendidik dan mengingatkan kita agar menjadikan Allah matlamat hidup kita. Dan menolak segala hasutan nafsu dan syaitan terkutuk .

Allah berfirman, maksudnya:
"Sesungguhnya solat itu dapat mencegah daripada (perbuatan-perbuatan) keji dan mungkar." 
(Al Ankabut: 45)

Firman Allah lagi yang maksudnya:
"Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman iaitu orang-orang yang khusyuk dalam solat."  (Al Mukminun: 1-2)

Allah berfirman lagi, maksudnya:
"Jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya solat itu berat kecuali orang-orang yang khusyuk."  (Al Baqarah: 45 )

Demikian besarnya peranan solat dalam membentuk akhlak manusia. Siapa yang benar-benar solat nescaya sudah merasai hasil yang dijanjikan oleh Allah itu.

4. HIKMAH MENGELUARKAN ZAKAT FITRAH DAN SEDEKAH

Di bulan Ramadhan kita diwajibkan mengeluarkan zakat fitrah dan digalakkan membanyakkan sedekah. Ertinya, kita disuruh berlaku pemurah pada orang-orang yang susah dan berkasih sayang dengan mereka.

Nabi ﷺ bersabda,

مَنْ فَطَّرَ صَائِمًا كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِهِمْ مِنْ غَيْرِ أَنْ يَنْقُصَ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْئًا

“Barang siapa memberi buka puasa pada orang yang berpuasa maka baginya semisal pahala mereka tanpa mengurangi sedikit pun dari pahala mereka.” (HR Tirmidzi, Ibnu Majah dan Darimi)

Orang yang dapat menghiburkan saudara se-Islam, nescaya Allah akan hiburkan dengan syurga di dunia dan di akhirat. Seorang yang hanya beribadah kepada Allah, tapi tidak berbaik-baik dengan hamba Allah, belumlah terjamin kebahagiaan hidupnya di dunia dan di akhirat.

Kerana itu di bulan Ramadhan, Islam  mendidik kita untuk banyak memberikan harta kita pada jalan Allah. Yakni pada orang susah, Kalau itu dapat dikekalkan sebagai akhlak kita, ertinya kita telah mengembalikan diri kepada sifat semulajadi yang suci, sebagaimana waktu kita mula-mula dilahirkan.

5. HIKMAH MEMBACA AL QURAN

Amalan yang sangat digalakkan juga di bulan Ramadhan ialah membaca Al Quran. Tapi membaca Al Quran bukan hanya untuk mendapat pahala atau ambil berkat semata-mata, sebaliknya perlu diambil hikmahnya.

Membaca Al Quran ertinya meneliti hukum-hakam, mengambil iktibar dari cerita-cerita di dalamnya, memerhatikan tanzir (khabar-khabar yang menakutkan) serta tabsyir (khabar-khabar gembira) dari Allah SWT, juga untuk membersihkan fikiran-fikiran kita daripada segala aqidah dan ideologi (isme-isme) karut ciptaan manusia.

Sedangkan banyak ajaran Quran dan sunnah yang masih asing pada kita, belum kita pelajari dan amalkan. Jadi dengan banyak membaca Al Quran, kita dapat mengikis kekarutan fahaman-fahaman lama dari fikiran kita.

Kita akan jadi orang yang kenal Allah, merasa kehebatan dan kebesaran-Nya, mahu menyembah-Nya. Dengan itu, kita akan teringat-ingatkan Akhirat, yakini Syurga dan Neraka. Betapa indahnya Syurga dan betapa dahsyatnya Neraka akan terasa oleh kita.

Tegasnya Al Quran akan menambah iman kita. Ertinya kita akan dibersihkan oleh Al Quran sebersih mula-mula kita dilahirkan di dunia.

6. HIKMAH LAILATUL QADAR

Lailatul Qadar berlaku pada salah satu malam di sepuluh malam yang akhir di bulan Ramadhan. Orang-orang yang beribadah bertepatan dengan malam Qadar itu mendapat ganjaran pahala 1000 bulan. Perkara penting di malam Qadar ialah Al Quran diturunkan pada malam itu.

Hikmahnya yang perlu difahami ialah, apabila nafsu berjaya ditundukkan dengan berpuasa, di waktu itu barulah Al Quran itu benar-benar dapat dijadikan petunjuk.

Firman Allah, maksudnya:
"Bulan Ramadhan ialah bulan yang diturunkan Al Quran yang menjadi petunjuk kepada manusia". (Al Baqarah: 184)

Petunjuk yang dimaksudkan ialah Al Quran itu merupakan perlembagaan untuk mengatur hidup manusia. Petunjuk yang meliputi seluruh persoalan hidup.

Perlu diingat, Al Quran hanya dapat dijadikan petunjuk apabila pembacanya dapat menundukkan nafsu. Hari ini berapa ramai umat Islam di dunia yang membaca Al Quran, tetapi gagal melaksanakan petunjuk di dalamnya. Sebab utama ialah kerana mereka gagal menundukkan nafsu mereka.

Kerana itu tidak hairan, dalam dunia hari ini, orang-orang yang pandai membaca Al Quran diberi hadiah, sedangkan orang yang mengamal dan memperjuangkan Al Quran sebagai peraturan hidup sering ditentang dan dipenjarakan.

Itulah antara hikmah Ramadhan yang dapat kita cungkil. Pastinya terdapat berbagai-bagai lagi hikmah yang belum dapat diungkap.

Kesimpulannya, apabila kita terdidik dari puasa yang sebenar-benarnya, nafsu ditundukkan dengan mujahadatunnafsi, jiwa hidup subur dan merdeka dari jajahan nafsu.

Kualiti solat meningkat hasil latihan dari terawih, akal fikiran dan minda yang dipengaruhi oleh Al Quran, ikatan kasih sayang dan ikatan silaturrahim terpaut melalui zakat fitrah dan sedekah, itulah tanda sudah memiliki ciri-ciri orang taqwa.

Terbinalah peribadi yang akan membina keluarga, masyarakat dan akan mengatur hidup sesuai dengan taraf hamba dan khalifah Allah di atas muka bumi.


محمد فضلي بن يوسف
02 Ramadhan 1432H
02 Ogos 2011

Silakan share

(Jika ingin kongsikan di blog, atau di copy paste ke nota anda, sila nyatakan nama saya dan buat pautan ke FB saya, agar saya mudah menjawab segala persoalan yang timbul dari artikel ini. Link terus ke FB saya: http://facebook.com/mfadli11 atau ke note ini, http://www.facebook.com/note.php?note_id=10150330684606719)


Semoga Allah Redha

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...